Laporan siasatan kes Adib dibentang September ini

Laporan siasatan kes Adib dibentang September ini

LAPORAN Penuh Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dibentangkan ke Parlimen pada September depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Laporan Jawatankuasa Khas itu telah disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Ogos 2022.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas itu berkata, laporan ini yang disediakan telah mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang telah dilantik dan wakil kementerian, jabatan serta agensi berkaitan.

“Jawatankuasa Khas ini juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenalpasti punca kematian termasuklah sesi temu bual saksi-saksi kes, sesi penelitian dokumen-dokumen siasatan di War Room Jawatankuasa yang diadakan hampir setiap minggu.

“Selain itu, Sesi Rekonstruksi Kejadian juga telah diadakan dengan semua agensi berkaitan bertujuan untuk membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman litar tertutup (CCTV), rakaman-rakaman video serta keterangan daripada saksi-saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau berharap agar laporan ini dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden berkenaan.

Ujarnya, kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang kembali di masa hadapan.- Malaysiapost

Komen