Pokok hiasan rosak dipijak pengunjung di Dataran Merdeka

Pokok hiasan rosak dipijak pengunjung di Dataran Merdeka

TULAR beberapa keping gambar memaparkan pokok dan tanaman hiasan di Dataran Merdeka rosak dipijak pengunjung yang hadir ke acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022, pagi tadi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran Facebook memuat naik gambar dan rakaman video keadaan lanskap di tempat bersejarah itu rosak teruk akibat dipijak.

“Seronok tengok lautan manusia membanjiri jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka pagi tadi, bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Semangat cintakan negara seperti inilah yang kita mahu.

“Tapi ada pula sesetengah dalam kalangan kita langsung tidak mempedulikan persekitaran dan keindahan kawasan. Langsung rasa tidak bersalah merosakkan landskap yang disemai cantik.

“Semangat itu sudah bagus, tapi caranya tidak betul,” tulisnya.

Rata-rata warga maya kesal dengan sikap orang ramai yang tidak bertanggungjawab merosakkan lanskap di tempat bersejarah itu.

“Sedih tengok pokok-pokok rosak. Beribu-ribu dikeluarkan untuk selenggara lanskap bandar. Rasanya yang datang Dataran Merdeka terlalu padat tahun ini. DBKL perlu buat sesuatu,” kata Auffa Hish.

“Tolong merdekakan pemikiran dahulu sebelum hadiri acara-acara macam ini. Sambutan besar besaran ini juga dihadiri pelancong luar,” ujar Zulkhairi. – Malaysiapost

Komen