Tambang percuma buat OKU sempena merdeka

Tambang percuma buat OKU sempena merdeka

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan tambang percuma selama sebulan kepada orang kelainan upaya (OKU) bermula hari ini sehingga 30 September melibatkan semua perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

Tawaran itu merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, Bas Rapid Transit (BRT) atau bas henti-henti serta Rapid Mobiliti kepada semua OKU yang mempunyai kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65, hari ini.

“Pemberian tambang percuma ini sebagai tanda terima kasih Kumpulan Prasarana kepada pengguna OKU sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-65, selain bukti keprihatinan Keluarga Malaysia yang serius menjaga kebajikan serta keselesaan pengguna OKU,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kempen tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan OKU yang menggunakan pengangkutan awam.

Pengguna OKU hanya perlu menunjukkan kad perakuan OKU dikeluarkan oleh JKM atau Kad Konsesi OKU MyRapid kepada pegawai stesen rel di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL yang memberi token khas untuk menikmati tambang percuma.

Bagi penggunaan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, penumpang OKU hanya perlu menunjukkan kad perakuan OKU atau kad konsesi OKU MyRapid kepada kapten bas bagi membolehkan mereka menikmati perjalanan percuma. – Malaysiapost

Komen