Polis Selangor berjaya tumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi
POLIS Selangor berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan serentak di dua lokasi sekitar Semenyih, Kajang pada 1 September lalu dengan merampas 94,450 liter minyak diesel.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.

Menurutnya, dalam serbuan itu seramai 11 suspek berjaya ditahan membabitkan tujuh lelaki warga tempatan dan empat lelaki warga asing berusia 19 hingga 59 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan pekerja am di lokasi serbuan berkenaan.
“Rampasan membabitkan tujuh lori yang telah diubah suai dengan mampu mengisi 3,000 liter diesel; sebuah lori tangki dengan muatan 25,000 liter diesel; dan sebuah pacuan empat roda yang telah diubah suai dengan muatan 400 liter diesel.
“Turut dirampas 46 tong dengan muatan keseluruhan 27,050 liter diesel dan tiga tangki dengan muatan keseluruhan 39,000 liter diesel serta 12 telefon bimbit dan pelbagai peralatan lain dan dokumen yang dipercayai digunakan untuk penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1.5 juta dengan nilai kerugian kerajaan akibat daripada aktiviti penyelewengan ini sebanyak RM203,067 berdasarkan harga diesel bersubsidi iaitu RM2.15 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.70 seliter,” katanya dalam sidang media di gudang lokasi serbuan di Semenyih, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket berkenaan adalah dengan membeli minyak di stesen-stesen minyak sekitar Kajang menggunakan lori dan pacuan empat roda yang telah diubah suai.
“Minyak diesel bersubsidi berkenaan kemudian dipindahkan ke tangki simpanan di dua lokasi serbuan, sebelum dijual kepada pihak industri dengan harga lebih murah dari harga diesel tanpa subsidi
“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dalang utama sindiket ini,” katanya.
Arjunaidi berkata, kesemua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama lima hari sehingga esok dan semakan mendapati kesemuanya tiada rekod jenayah lampau. – Malaysiapost