Mahkamah tolak saman fitnah Dusuki terhadap Mujahid

Mahkamah tolak saman fitnah Dusuki terhadap Mujahid

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah difailkan pemimpin PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani terhadap Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Ia berhubung dakwaan isu penjualan aset Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam.

Berkongsi di Facebooknya, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan mahkamah turut mengarahkan Ahmad Dusuki membayar kos RM11,000 kepadanya.

Saman fitnah tersebut difailkan Ahmad Dusuki susulan ciapan Twitter oleh Mujahid pada 22 November 2020 iaitu:

“Seorang Ustaz berdusta, berpuloh ribu jadi mangsa…berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri…hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya…Allahu Mustaan”.

Menurut Mujahid, ciapan tersebut ditulis rentetan tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

Tambah Mujahid, mahkamah dalam keputusannya hari ini antara lain memberi alasan-alasan penghakimannya seperti berikut:

i. Pernyataan dalam Twitter Mujahid bukan merupakan suatu fitnah kerana daripada keterangan semasa perbicaraan telah terbukti bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan islam;

ii. Pembelaan justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat yang digunapakai oleh Defendan adalah pembelaan yang terpakai kerana:

a) Defendan yang merupakan bekas Menteri Agama bertanggungjawab terhadap hal-ehwal pengurusan dan penjalanan TH mempunyai suatu tanggungjawab moral dan sosial, dan atas dasar kepentingan awam yang, pernyataan dalam Twitter itu dibuat berasaskan kepada fakta benar dan terbukti;

b) sebagai bekas Menteri Agama, Defendan bertanggungjawab untuk memberitahu hal sebenar tentang Tabung Haji supaya Tabung Haji tidak lagi disalahanggap sebagai institusi yang memanipulasi harta orang Islam. – Malaysiapost

Komen