Cubaan seludup 22 warga Myanmar gagal
Ben Ibrahim
POLIS Raub mematahkan cubaan menyeludup 22 warga asing susulan pemeriksaan ke atas dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Taman Raub Jaya, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata semua warga asing dari Myanmar itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas Toyota Vellfire dan Perodua Alza di hadapan kedai tayar dekat bandar Raub jam 10.30 pagi.
Bagaimanapun, kedua-dua pemandu MPV itu sempat meloloskan diri ke kawasan ladang sawit berhampiran kedai berkenaan.
“Pegawai dan anggota polis Raub melakukan pemeriksaan terhadap MPV terbabit selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 14 warga Myanmar ditemui dalam Toyota Vellfire dan lapan lagi dalam Perodua Alza.
“Mereka berusia antara 19 hingga 39 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Shahril berkata, daripada tangkapan itu seramai 15 lelaki manakala selebihnya adalah wanita dan dipercayai hasil aktiviti permerdagangan manusia.
Katanya, mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 55E/6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana tidak memiliki pasport dan visa.
Polis Raub juga sudah melancarkan Operasi Tutup bagi mengesan dua suspek yang memandu MPV terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu dan mengenali pemandu MPV berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Malaysiapost