Mujur negara dapat Ismail Sabri sebagai PM daripada Muhyiddin

Mujur negara dapat Ismail Sabri sebagai PM daripada Muhyiddin

Shahril Hamdan

TIDAK dinafikan keadaan ekonomi global yang tidak menentu telah menyebabkan situasi yang amat mencabar untuk rakyat.

Sebab itu pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada soal kemiskinan sehinggalah menurunkan pengangguran dengan drastik.

Masih banyak yang perlu dilakukan untuk perbetul keadaan rakyat yang terkesan daripada tamparan hebat sejak pandemik Covid-19.

Tapi ini bukan alasan untuk individu tertentu melemparkan label tanpa cermin diri. 

Terutamanya apabila individu itu ialah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, bekas Perdana Menteri yang banyak buat keputusan janggal, presiden parti yang ada wakil dalam Kabinet termasuk dalam portfolio ekonomi

Tan Sri Muhyiddin kata, banyak syarikat terpaksa kecilkan operasi atau tutup. 

Jawapan. 

Agaknya sebab apa? Agaknya zaman bila? Cuba tengok berapa syarikat yang tutup semasa dia jadi PM? Lebih 100,000 perniagaan tutup operasi semasa Covid.

Ya sebahagiannya disebabkan Covid memuncak. Tapi sebahagiannya juga sebab Perdana Menteri waktu itu sendiri tidak ada ketegasan apa jalan keluar dari belenggu Covid. Kejap A, kejap B. Kejap buka kejap tutup.

Mujur Datuk Seri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, buka semula ekonomi. Tarik pelaburan sehingga angka tertinggi dalam sejarah dicatat sebanyak RM72.9 bilion bagi tempoh 9 bulan.

Melalui Bajet 2022, Perdana Menteri juga telah memperkenalkan program Semarak Niaga berjumlah RM40 bilion untuk membantu usahawan dan perniagaan bina semula punca rezeki mereka.

Ini juga dilengkapi oleh inisiatif Jamin Kerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas.

Hasil daripada ini, pengangguran turun 12 bulan berturut-turut setelah Ismail Sabri jadi Perdana Menteri kepada 3.8% dan jumlah status bekerja naik sekitar 600,000 dari Ogos 2021 hingga Julai 2022.

Malah, jualan barangan borong dan runcit juga meningkat dengan kadar tertinggi sepanjang tahun ini. Kadar muflis juga menurun tahun ini.

Kalau Tan Sri Muhyiddin? Lockdown sampai bila? Nak kerja atau berniaga macam mana? Nak dapat pendapatan macam mana?

Tan Sri Muhyiddin kata, ringgit lemah.

Jawapan. 

Tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa ringgit Malaysia menyusut berbanding US dolar. Tetapi lebih kukuh berbanding British Pound, Yen Jepun, South Korean Won, dan beberapa matawang lain.

Tan Sri Muhyiddin berkata, kerajaan tak bersungguh-sungguh memulihkan Ringgit berbanding Dolar. 

Apa idea hebat Muhyiddin? Hendak tambat matawang? Hendak buat “capital controls”? Hendak pakai rizab antarabangsa kita? 

Kalau ya, cakap la. Dan bersedia pertahankan idea itu. Kalau setakat kata Ringgit susut tapi tak ada kesedaran punca jauh sekali idea, apa guna?

Kadar faedah di Amerika Syarikat naik dengan cepat. Kalau Malaysia ambil tindakan lebih agresif, ringgit berkemungkinan kukuh sedikit tetapi rakyat akan berdepan dengan kadar bayaran hutang yang lebih tinggi. Muhyiddin hendak minta OPR naik berapa peratus?

Tan Sri Muhyiddin kata, ada rakyat yang lambat bayar hutang atau ikat perut.

Jawapan. 

Sememangnya ada rakyat yang sedang susah. Memang ada PKS yang susah. Tetapi lihat usaha yang dibuat dalam Bajet 2022, antaranya seperti pinjaman tanpa faedah, pinjaman dengan moratorium 6 bulan semua antara usaha dalam Semarak Niaga.

Perdana Menteri juga pernah menyeru kepada institusi kewangan untuk tidak ambil tindakan terhadap mana-mana PKS yang gagal bayar balik pinjaman.

Malah, Bank Rakyat dan SME Bank antara institusi perbankan yang tidak ambil apa-apa tindakan.

Zaman Muhyiddin seolah-olah tidak ada yang ikat perut? Adakah kita lupa apa yang telah berlaku?

Ramai tidak mampu membeli keperluan asas sehingga rakyat minta bantuan dengan mengangkat bendera putih. Yang itu apa pula komen Muhyiddin?

Tan Sri Muhyiddin kata, Malaysia import sebahagian besar keperluan makanan.

Jawapan. 

Dari dulu lagi. Tetapi apa yang Muhyiddin buat semasa jadi Perdana Menteri? Untuk memperbaiki kedudukan keselamatan makanan?

Bawah Ismail Sabri, tindakan berani dengan penghapusan AP, pembekuan eksport ayam ke luar negara, kemudahan pinjaman untuk petani dan pengeluar makanan, subsidi untuk pengusaha ayam dan lain-lain.

Isu keselamatan makanan ini semua kesinambungan dari dasar-dasar semasa zaman Pak Lah dan Datuk Sri Najib. Dari Dasar ‘Pertanian untuk semua’ ke Dasar Agromakanan negara.

Apa dasar Muhyiddin? Atau legasi beliau?

Tan Sri Muhyiddin kata, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu dapat dipilih oleh rakyat.

Jawapan. 

Habis tu kenapa tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri? 

Bab mendapat mandat dari pilihanraya ni BN sudah sebut semenjak Februari 2020 lagi. Berbeza dengan Muhyiddin. 

Jangankan pilihanraya, sidang Parlimen pun dielak melalui darurat. Jadi agak janggal bila tiba-tiba bercakap tentang mandat rakyat. Apapun, bila PRU sampai kita lihat siapa yang sebenarnya gagal.

Natijahnya, dalam hal ekonomi ini, tiada yang sempurna. Masih banyak masalah perlu diatasi. Tapi sekurang-kurangnya batu asas telah diletak dan kemajuan dicapai dari kedudukan bawah semasa Muhyiddin letak jawatan. 

Daripada semua kemajuan itu, kita akan teruskan usaha. -Malaysiapost

Penulis ialah Ketua Penerangan Umno.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis yang dipetik sepenuhnya dari Facebook beliau) 

Komen