Sekolah pondok ‘kilang’ lahirkan ulama – Idris

Sekolah pondok ‘kilang’ lahirkan ulama – Idris

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pembangunan pesat penubuhan sekolah pondok menunjukkan pendemokrasian dalam pendidikan negara.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan perkembangan yang sangat baik terhadap sistem pendidikan terutama dalam bidang agama.

“Jika kita perhatikan di sesebuah kampung itu sekiranya ada tok guru, pondok, dan pusat ilmu agama masyarakat di situ akan menjadi aman kerana segan dan malu untuk melakukan jenayah dan maksiat di tempat itu.

“Wujudnya pondok ini merupakan satu limpahan ekonomi dan rahmat kepada masyarakat di (sesuatu) tempat itu,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian dan Upacara Pecah Tanah Pondok Mihrab Maryam (Tahfiz Darul Furqan), Sungai Pelek, Sepang, pagi tadi

Pondok Mihrab Maryam itu merupakan sebuah institusi pondok yang dibangunkan bagi memfokuskan pengajian agama kepada warga emas.

Menurut Idris, sistem pondok telah wujud sejak dahulu dan perlu diperkukuh serta diperkasakan kerana di sinilah kilang yang melahirkan para ulamak.

“Pesanan bagi anak-anak tahfiz, jika nak hafal Al Quran inilah masanya kerana semasa muda remaja ini otak cerdas dan mudah lekat.

“Oleh itu, jagalah anugerah daripada Allah SWT ini dengan sebaiknya kerana Quran ialah mukjizat dan ianya tidak lekat pada ahli matsiat.

“Semoga Allah merahmati penubuhan Pondok Mihrab Maryam dan Tahfiz Darul Furqan dalam menjadi pusat ilmu,” katanya. – Malaysiapost

Komen