2 ditahan tangguk siput retak seribu secara haram

2 ditahan tangguk siput retak seribu secara haram

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan dua lelaki dan merampas hasil laut dianggarkan bernilai RM7,550 di perairan Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata suspek ditahan bersama sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran pada jam 6.59 petang selepas disyaki menangguk siput pada kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Kuala Perlis.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia ke lokasi sebaik menerima maklumat orang awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis mengenai pencerobohan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang berpangkalan di Jeti Kurong Tengar, Kuala Perlis itu mendapati menangguk siput retak seribu secara haram.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot dikendalikan tekong dan seorang awak-awak warga tempatan berusia 28 hingga 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hashim berkata, kesemua awak-awak termasuk tekong ditahan dan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) kerana mengusahakan aktiviti penangkapan ikan, mengendali atau membenar dikendalikan di perairan perikanan Malaysia vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah.

“Serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pencerobohan kawasan perikanan bagi tujuan menangkap siput secara haram masih berlaku di Perlis dipercayai berikutan negeri itu adalah habitat pembiakan baka siput retak seribu.

“Zon Maritim Kuala Perlis berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat salah laku jenayah maritim,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: APMM

Komen