Abang Long Fadil 3 kutip RM18 juta selepas 11 hari

Abang Long Fadil 3 kutip RM18 juta selepas 11 hari

DALAM tempoh 11 hari, filem bergenre komedi aksi, Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof berjaya mengutip RM18 juta di pawagam.

Filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu menampilkan pelawak popular, Zizan Razak dan Johan Raja Lawak sebagai teraju utama.

Penerbit, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa bersyukur atas kutipan memberangsangkan francais ketiga Abang Long Fadil itu.

“Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan ini. Menerusi platform sosial media dan tinjauan menerusi siri jelajah diadakan, kami mendapati rata-rata penonton yang memberi sokongan daripada golongan sudah berkeluarga.

“Saya bersama rakan penerbit, Astro Shaw mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudah menonton filem arahan Syafiq ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Abang Long Fadil 3 berkisar gelagat Fadil lakonan Zizan Razak sebagai ejen perisik Perkhidmatan Rahsia Negara (NSS) yang cuba menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han (Johan).

Dalam misinya itu, Fadil diburu King Cobra (Datuk AC Mizal) atas dendam kesumat.

Filem hasil idea asal Syafiq Yusof itu meraih kutipan RM3 juta pada hari pertama tayangan di 159 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Terdahulu, sekuel kedua francais ini mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan pecah panggung lebih RM18 juta ketika ditayangkan pada 2017.

Selain Zizan dan Johan, filem Abang Long Fadil 3 turut menampilkan Maya Karin, Elizabeth Tan, Shuib Sepahtu dan Ozlyn Wati.

Turut beraksi dalam filem menelan belanja RM6 juta itu adalah Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, Hairul Azreen dan Siraj Alsagoff. – Malaysiapost

Komen