Jaminan peruntukan adil dalam Bajet 2023 hanya retorik – Guan Eng

Jaminan peruntukan adil dalam Bajet 2023 hanya retorik – Guan Eng

LIM Guan Eng mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak bersikap jujur dalam jaminanya bahawa kerajaan tidak akan meminggirkan komuniti Cina di bandar dan luar bandar dalam Bajet 2023.

Pengerusi DAP itu berkata, jaminan diberikan dikhuatiri hanya retorik kosong menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Dalam bajet pertama beliau (Ismail Sabri) sebagai Perdana Menteri iaitu Bajet 2022, komuniti Cina dan India secara terang-terangan di diskriminasi dalam bentuk peruntukan.

“Jaminan seperti itu mudah ditolak sebagai retorik kosong untuk pilihan raya umum akan datang.

“Dalam Bajet 2022, RM11.4 bilion diperuntukan untuk komuniti Bumiputera, RM274 juta untuk Orang Asli dan RM345 juta untuk Cina dan India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sekiranya dimasukkan peruntukan Orang Asli dalam bahagian Bumiputera, peruntukan sebanyak RM345 juta untuk Kaun Cina dan India adalah tidak sampai tiga peratus daripada jumlah keseluruhan RM11.674 bilion.

“Tiada siapa yang mempersoalkan RM11.674 bilion kepada Bumiputera dan Orang Asli itu.

“Tetapi bolehkah Ismail menjelaskan mengapa komuniti India dan Cina hanya layak menerima RM345 juta iaitu kurang tiga peratus daripada RM11.674 bilion yang diterima Bumiputera dan Orang Asli?” soalnya.

Beliau mengulas mengenai jaminan diberikan Perdana Menteri dalam satu festival Cina Ahad lalu, bahawa komuniti Cina di bandar dan luar bandar tidak akan dipinggirkan dalam Bajet 2023.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, kerajaan akan memastikan Bajet 2023 mengfokuskan pada kebajikan dan kehidupan rakyat itu secara keseluruhannya.

Guan Eng turut mempersoalkan bagaimana kerajaan dapat memastikan bajet berkenaan akqn mengfokuskan kebajikan dan kehidupan rakyat secara keseluruhannya, apabila bajet itu sendiri berdasarkan bangsa bukannya keperluan.

“Mendukacitakan apabila Ismail Sabri bercakap tentang kepelbagaian budaya, mengukuhkan hubungan antara Kaun dan falsafah budaya hanya semasa musim pilihan raya.

“Saya tidak ingat beliau menggalakkan program kebudayaan Cina sebelum ini. Apa yang kita boleh ingat hanyalah Projek Digital Mall di Kuala Lumpur khusus untuk Bumiputera yang gagal,” sindirnya.

Bajet 2023 dijadualkan akan dibentangkan dalam Sidang Parlimen pada 7 Oktobet ini. – Malaysiapost

Komen