Kritik PM: Lokman Adam sifatkan Muhyiddin ‘koyak’

Kritik PM: Lokman Adam sifatkan Muhyiddin ‘koyak’

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘koyak’ apabila mengkritik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lokman berkata, beliau berpandangan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ‘koyak’ kerana melihatkan keakraban Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kenapa dia (Muhyiddin) koyak? Bila dia tengok Zahid berpeluk dengan Perdana Menteri ketika program Pemuda Umno, dia betul-betul marah Zahid sambut tangan Perdana Menteri begitu erat.

“Pada program Perhimpunan MIC pula, sekali lagi kita lihat keakraban Presiden Umno dan Perdana Menteri, nampak gaya ia benar-benar membuatkan Muhyiddin koyak,” katanya menerusi satu video dimuatnaik di Facebooknya.

Semalam Muhyiddin dilaporkan berkata PN rela PRU15 diadakan dengan alasan Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik.

Muhyiddin berkata PRU segera akan membolehkan sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dipilih oleh rakyat.

Jelas Muhyiddin, kejatuhan nilai ringgit antara isu yang didakwa tidak dipandang serius oleh Ismail Sabri.

Malah katanya, Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

Sementara itu Lokman berkata, amat mengejutkan apabila Muhyiddin yang memimpin sebuah kerajaan gagal sebelum ini, mendakwa pula Ismail Sabri sebagai gagal.

“Beliau seolah-olah tak cermin wajah sendiri apabila membuat kenyataan tersebut.

“Inilah orang yang dilantik oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN). Maknanya nak pulihkan ekonomi, Covid-19 dan keyakinan rakyat, semua dia (Muhyiddin) yang bertanggungjawab.

“Jadi macam mana dia kata Perdana Menteri gagal? Beliau adalah Pengerusi MPN bertaraf menteri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, di bawah kepimpinan Ismail Sabri, Perdana Menteri telah berjaya mengeluarkan Malaysia dari zaman kegelapan.

Ini kerana katanya, ketika pentadbiran Muhyiddin, ramai rakyat tidak dapat ‘mencari makan’ dengan sempurna berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan.

“Pada waktu itu, ramai terpaksa pinjam wang dengan Along, keluarkan wang KWSP, ada yang tak dapat nak sediakan makanan di atas meja, masalah mental juga bertambah.

“Jadi macam mana Muhyiddin boleh kata kerajaan Ismail Sabri gagal,” katanya. – Malaysiapost

Komen