Mahkamah putuskan keterangan Fadzlette pagi esok 

Mahkamah putuskan keterangan Fadzlette pagi esok 

Nahar Tajri

HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,  Datuk Collin Lawrence Sequerah akan memberi jawapan sama ada keterangan saksi kedua pembelaan dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi akan diterima atau ditolak jam 11 pagi esok. 

Sequerah sebelum itu, beberapa kali mempersoalkan hujahan pihak pendakwaan yang mahu mahkamah menolak keterangan saksi kedua pembelaan iaitu Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican kerana berpendapat ianya relevan terhadap kes yang dibicarakan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran sebelum itu mengemukakan bantahan terhadap perenggan 16 hingga 31 berkaitan bekas Setiausaha Ekkekutif  Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang juga saksi pendakwaan. 

Bagaimanapun peguam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Hisyam Teh Poh Teik berhujah, keterangan Fadzlette yang juga bekas setiausaha akhbar Presiden Umno itu perlu diterima mahkamah selagi mana ia berkaitan dan menyentuh isu kredibiliti Mazlina.

Hisyam berhujah, keterangan Fadzlette, adalah relevan bagi anak guamnya  mencabar keterangan yang diberikan Mazlina. 

Katanya, keterangan itu penting kepada fakta dalam kes untuk menunjukkan sama ada anak guamnya bersalah atau sebaliknya daripada tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahanan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya itu.

“Keterangan saksi kedua pembelaan adalah perlu untuk menujukkkan Mazlina cuai dan tidak mematuhi arahan dalam mengendalikan akaun peribadi Ahmad Zahid iaitu berkaitan dengan tindak tanduk dan tingkah lakunya

“Oleh itu kami meminta Yang Arif untuk berhati-hati dalam menerima hujahan pendakwaan dalam hal ini. 

“Jika Yang Arif menerima hujahan itu, ia akan menafikan hak tertuduh untuk mengemukakan pembelaannya secara berkesan dan seterusnya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dijamin oleh perlembagaan.

“Kami menyatakan bahawa selagi keterangan yang hendak dimasukkan itu ada kaitan bagi mencabar saksi pendakwaan dan ia menyentuh isu utama dan bukannya sampingan, selagi ia ada kaitan dan relevan maka ia hendaklah diterima,” katanya.

Sementara itu, Raja Rozela dalam hujahnya berkata, pembelaan tidak boleh mengguna pakai peruntukan Seksyen 153 (2) Akta Keterangan 1950 kerana ia mesti menunjukkan bahawa Mazlina berat sebelah terhadap bekas majikannya.

“Keterangan bahawa Mazlina tidak mematuhi arahan dan membuat keputusannya sendiri tidak termasuk dalam peruntukan itu kerana ia tidak menunjukkan saksi pendakwaan itu mempunyai motif buruk ke atas Ahmad Zahid.

“Bagaimana keterangan ini jika diterima oleh mahkamah, boleh menunjukkkan yang Mazlina tidak menerima arahan sedangkan beliau hanya berurusan dengan Ahmad Zahid dan bukannya Fadzlette?

“Sedangkan dalam hal ini, saksi kedua itu hanya bimbangkan mengenai isu Mazlina yang tidak menghormatinya,” katanya. – Malaysiapost

Komen