Malaysia-UAE tingkat perkongsian kepakaran pertahanan

Malaysia-UAE tingkat perkongsian kepakaran pertahanan

MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) komited mengukuhkan lagi hubungan dua hala khususnya dalam konteks pertahanan kedua-dua negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu dizahirkan dalam pertemuannya dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan sempena lawatan rasmi ke negara itu, hari ini.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu kedua-dua pihak mengambil peluang menzahirkan penghargaan atas komitmen kerajaan masing-masing demi memastikan hubungan Malaysia-UAE kekal bermanfaat dan membanggakan.

“Kami senada bahawa prospek ini mesti diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini termasuklah dengan meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, pertemuan itu juga dimanfaatkan untuk kedua-dua negara membincangkan keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur.

“Terutamanya melalui penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang telah lama ditubuhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Hishmmuddin berkata, beliau turut mengadakan pertemuan bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohammed Ahmed Al Bowardi.

Katanya, pertemuan di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan UAE ini turut mengadakan mesyuarat dua hala yang menumpukan terhadap hubungan pertahanan akrab antara Menteri dan angkatan tentera masing-masing.

” (Ia termasuk) mengadakan latihan dua hala bersama antara ATM dan Angkatan Tentera UAE. Latihan ini akan tertumpu di kawasan darat khususnya melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Darat UAE.

“Meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua-dua angkatan tentera,” katanya.

Selain itu, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan penglibatan antara ketenteraan di peringkat tertinggi yang turut dipersetujui Panglima ATM dan Ketua Staf Angkatan Tentera UAE, Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi.

“Serta mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen