Pemuda Umno cabar Muhyiddin ‘tekan butang’ sekarang

Pemuda Umno cabar Muhyiddin ‘tekan butang’ sekarang

PEMUDA Umno mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua menteri dari Bersatu supaya menarik sokongan segera terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia bagi membolehkan Parlimen dibubarkan segera sekali gus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Cabaran itu dilontarkan Asyraf Wajdi susulan kritikan Muhyiddin terhadap Ismail Sabri semalam dengan mendakwa Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi, termasuk kejatuhan nilai ringgit.

“JIka Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan PRU15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak.

“Buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Muhyiddin dilaporkan berkata PN rela PRU15 diadakan dengan alasan Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik.

Muhyiddin berkata PRU segera akan membolehkan sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dipilih oleh rakyat.

Jelas Muhyiddin, kejatuhan nilai ringgit antara isu yang didakwa tidak dipandang serius oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Malah katanya, Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik daripada semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Beliau (Muhyiddin) buat ‘Lock-Down’ separa masak paling lama dan menggantung Parlimen sewenangnya beberapa bulan. Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi?

“Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti bunga? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?

“Apakah setelah Tengku Zafrul isytihar menyertai BN, maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Datuk Seri Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga?,” katanya. – Malaysiapost

Komen