PM umum PETRONAS naikkan dua kategori elaun untuk pelajar

PM umum PETRONAS naikkan dua kategori elaun untuk pelajar

PETRONAS akan menaikkan dua kategori elaun untuk 2,267 pelajar di bawah tajaannya berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2022 di ibu negara hari ini.

“Pertama, kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

“Kedua, pelajar yang baru menerima penajaan PESP, elaun induksi (Onboarding Allowance) akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kenaikan kedua-dua elaun itu mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi.

Beliau juga berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa, seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS atas penganugerahan tajaan PESP ini, dan sekalung tahniah kepada semua penerima yang terpilih.

“Tajaan ini diharap dapat mendorong anda mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan, seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen