Prestasi kerajaan hambar, tidak wajar PM tuding Bersatu

Prestasi kerajaan hambar, tidak wajar PM tuding Bersatu

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuding ke arah Bersatu ‘menyumbang’ kepada prestasi hambar kerajaan disifatkan tidak wajar, kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri.

Beliau berkata, ini kerana pemimpin Bersatu dalam Kabinet mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) sudah melunaskan tanggungjwab yang diberikan.

Tegasnya, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sudah menasihati Ismail Sabri supaya melaksanakan ‘program luar biasa’ untuk memperkasa semula ekonomi negara yang rentan akibat Covid-19.

“Namun Perdana Menteri dilihat tidak serius dengan pemerhatian Muhyiddin
mahupun laporan MPN apabila tiada tindakan komprehensif dilaksanakan Ismail Sabri kerana lebih banyak melayan gangguan dan ugutan pemimpin Umno sendiri.

“Jadi akibat memberi tumpuan kepada politiking menyebabkan Perdana Menteri hilang fokus untuk menguruskan kerajaan, rakyat dan ekonomi.

“Ini termasuk mengabaikan cadangan MPN yang diangkat kepada mesyuarat Kabinet yang mempunyai asas kukuh serta boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Solihan meminta Perdana Menteri tidak memandang enteng cadangan baik daripada Tan Sri Muhyiddin hanya kerana beliau adalah Pengerusi PN.

“Perdana Menteri perlu bersikap profesional dalam mengurus kerajaan kerana jika idea baik tetapi dihalang, yang menerima
kesannya adalah rakyat.

“PN Johor tidak nampak sesuatu yang baharu sejak Ismail Sabri mengambil alih teraju Kerajaan Pusat kecuali meneruskan perancangan Tan Sri Muhyiddin.

“Ketika negara serantau giat meneruskan projek yang terhenti akibat Covid-19 selain melaksanakan pembangunan baharu yang akan memacu pertumbuhan, negara kita malangnya menjadi perhatian antarabangsa kerana konflik politik yang tak sudah dan kerakusan pemimpin dengan rasuah,” katanya. – Malaysiapost

Komen