PRU15: Umno, BN rakan Ta’awun, musuh sebenar adalah PH – PAS

PRU15: Umno, BN rakan Ta’awun, musuh sebenar adalah PH – PAS

PAS kekal pendirian menjalinkan hubungan bersama Umno sebagai rakan Ta’awun, Kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, katanya, PAS tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya kata Takiyuddin, parti itu tetap menegaskan bahawa musuh sebenar Penyatuan Ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘Khemah Besar’.

Katanya, PAS juga yakin Agenda Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional antara orang Melayu-Islam, Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum hanya dapat dicapai jika kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU15.

“Justeru PAS terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU15.

“Ia seterusnya membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih mantap dan berotoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Takiyuddin, PAS yakin gabungan atas konsep Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional sahaja yang mampu menjadi formula terbaik dan berkesan.

Beliau juga berkata, konsep tersebut akan diterima majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah Kerajaan Prihatin Rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan, di samping memberi perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang.

“PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja dapat mengelak pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU15 nanti.

“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelak berulangnya sejarah hitam semasa PRU14,” katanya. – Malaysiapost

Komen