Pulau Pinang tidak bubar DUN jika PRU-15 musim monsun – Kon Yeow

Pulau Pinang tidak bubar DUN jika PRU-15 musim monsun – Kon Yeow

KERAJAAN Pulau Pinang berkemungkinan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim monsun.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata ini kerana musim monsun amat berisiko serta berbahaya kepada pengundi memandangkan diramalkan berlaku hujan lebat dan banjir ketika itu.

“Kalau bukan musim monsun itu lain cerita, kalau musim monsun kita mungkin tidak ikut (pilihan raya) sebab ia berisiko tinggi,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pusat perlu mengambil kira suara-suara yang menolak PRU15 diadakan ketika musim monsun memandangkan proses pengundian serta perjalanan kempen pilihan raya amat tidak sesuai dijalankan ketika musim berkenaan.

“Apa akan jadi kepada proses kempen dan pengundian sekiranya berlaku banjir ketika itu.

“Sebagai contoh jika berlaku banjir di pusat pengundian bagaimana dengan pengundi, bagaimana mereka mahu keluar mengundi ketika banjir berlaku.

”Bagaimana pula dengan nasib petugas-petugas dan sekiranya banjir apa akan berlaku kepada peti undi,” katanya.

Kon Yeow berkata, sekiranya banjir berlaku ketika waktu mengundi sudah tentu peratusan pengundi akan turut rendah.

”Bolehkah negara ini dipanggil lagi negara demokrasi sekiranya hal-hal seperti ini (mengundi ketika monsun) tidak diambil kira oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow menambah, sekiranya Barisan Nasional (BN) tetap mahu mengadakan PRU15 ketika musim monsun, beliau yakin pengundi pasti menolak BN.

“Hanya sedikit yang boleh keluar pengundi ketika monsun dan mereka yang keluar itu juga akan mengundi menolak BN,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, menyifatkan ini kerana isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat ini adalah jelas dan nyata. – Malaysiapost

Komen