RM20 juta untuk pendigitilan usahawan luar bandar

RM20 juta untuk pendigitilan usahawan luar bandar

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM20 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi mempergiatkan program e-dagang dan pendigitalan kepada usahawan luar bandar di bawah bimbingannya.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata menerusi peruntukan tersebut, KPLB akan memastikan sasaran RMK-12 ditetapkan mampu dicapai menerusi usaha berterusan dan secara kolektif melibatkan agensi-agensinya.

“KPLB menerusi inisiatif diperkenalkan iaitu Desamall@KPLB diyakini mampu membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang dan aplikasi digital,” katanya.

Ramlan berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Siri 3 Tahun 2022 Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

Turut hadir, Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat E-Lokal Sdn Bhd, Ahmad Shah Wahid.

Ramlan menambah pelbagai usaha telah digerakkan dengan kolaborasi agensi di bawah KPLB bagi melatih dan membangunkan persekitaran keusahawanan luar bandar yang sebelum ini bergantung secara konvensional kepada platform digital bagi meningkatkan akses pasaran.

”Kita tahu terdapat cabaran dan halangan bagi produk luar bandar menembusi pasaran secara dalam talian, bagaimanapun menerusi platform Desamall@KPLB, kita bantu luaskan pasaran produk serta perkhidmatan ke pelbagai platform e-dagang.

“Selain itu, menambah baik mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan, maklumat produk, foto serta video pendek berkualiti dan menarik untuk kesediaan usahawan berniaga dalam talian,” katanya.

Katanya lagi, KPLB menyasarkan sebanyak 5,000 produk dipasarkan di platform e-dagang melibatkan 5,000 usahawan luar bandar di seluruh negara.

Tambahnya, sejak Desamall@KPLB diperkenalkan pada 2017, jualan terkumpul adalah RM4.49 juta dengan jumlah produk terkini sebanyak 3,886 unit manakala bilangan usahawan melebihi 3,000 orang.

”Berdasarkan perancangan untuk usahawan luar bandar, kita optimis mampu mencapai yang ditetapkan menjelang penghujung RMK-12,” katanya. – Malaysiapost

Komen