RM33.8 juta kerugian akibat jenayah komersial di Pahang

RM33.8 juta kerugian akibat jenayah komersial di Pahang

Ben Ibrahim

KERUGIAN berjumlah RM33.8 juta membabitkan jenayah komersial direkodkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini di Pahang.

Tahun lalu, jumlah kerugian dicatatkan bagi tempoh sama ialah RM35.6 juta.

Walaupun jumlah itu turun sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu, ia masih dalam keadaan membimbangkan.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff, berkata kes tipu paling banyak dilaporkan dengan sebanyak 1,334 kertas siasatan dibuka.

“Jumlah kerugian itu adalah berdasarkan laporan diterima dari Januari hingga 31 Ogos lalu.

“Kalau ikut kepada jumlah kertas siasatan dibuka, tahun ini kita ada 1,334 kertas siasatan berbanding 1,050 (kertas siasatan) tahun lalu.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila melepasi sasaran tangkapan 150 suspek ditetapkan Bukit Aman,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis Pahang, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan tangkapan suspek dilakukan melalui operasi Mule Khas sepanjang Julai lalu.

Katanya, kadar pertuduhan bagi kes jenayah komersial dilakukan JSJK Pahang juga melebihi 40 peratus.

Sementara itu, Abdul Razak memaklumkan sebanyak 14,674 kes kemalangan dicatatkan dari Januari hingga Ogos lalu, iaitu peningkatan 5,661 kes berbanding tahun lalu.

“Statistik ini berdasarkan laporan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 250 kes kemalangan maut dengan 294 kematian,” katanya. – Malaysiapost

Komen