Simposium al-Quran angkat kesyumulan kalam Allah

Simposium al-Quran angkat kesyumulan kalam Allah

SIMPOSIUM al-Quran Peringkat Kebangsaan yang julung-julung kalinya diadakan adalah sebahagian usaha untuk mengangkat kesyumulan al-Quran, kata Datuk Idris Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, berkata program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertemakan ‘Kalam Allah Melestari Keharmonian Sejagat’ sangat bertepatan menjadikan al-Quran sebagai pedoman insan.

“Al-Quran adalah mukjizat teragung dan releven sepanjang zaman, isinya terkandung panduan kehidupan di dunia dan akhirat.

“Simposium hari ini juga, merupakan salah satu usaha bagi mengangkat kesyumulan al-Quran, membudayakan ilmu dan menterjemah nilai Quraniyyah dalam pembangunan insan dan tadbir urus,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu beliau merasmikan Simposium al-Quran Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, kelestarian al-Quran sebagai pedoman insan merangkumi semua aspek kehidupan.

Katanya, ia merangkumi daripada sekecil-kecil perkara seperti cara pakai pakaian sehingga urusan mektadbir sebuah kerajaan dan negara.

“Wahyu Al-Quran juga merupakan formula penyatuan yang ampuh, jelas dapat dibuktikan melalui sirah Baginda Nabi Muhammad SAW di Makkah dan Madinah sehingga dapat membentuk sebuah negara Madinah.

“Didoakan agar simposium yang diadakan mencapai objektif penganjuran dan memberikan impak kepada semua agensi kerajaan dan seluruh masyarakat ke arah membina sebuah Keluarga Malaysia yang dirahmati Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Komen