Tiada laporan budak hampir diculik di Genting Highlands – polis

Tiada laporan budak hampir diculik di Genting Highlands – polis

POLIS akan menjalankan siasatan dan mengesan pemilik akaun TikTok ‘@Alfitry_Azmi52’ bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung video tular berkenaan kejadian seorang kanak-kanak hampir diculik di Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian itu tular menerusi sebuah video berdurasi satu minit 20 saat yang dimuatnaik di Facebook ‘Daily Traffic Report’.

Ia memaklumkan seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh wanita warga asing di kawasan terbabit.

“Susulan itu, pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis pada jam 8.16 malam tadi berhubung video tular berkenaan.

“Polis juga mengesahkan setakat ini tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak yang terlibat.

“Bagaimanapun, pihak IPD Bentong akan menjalankan siasatan dan menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar tidak sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut. – Malaysiapost

Komen