Tommy Thomas tak sensitif, bersikap prejudis – Zahid

Tommy Thomas tak sensitif, bersikap prejudis – Zahid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Tan Sri Tommy Thomas berhubung kegagalan dua pentadbiran kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) didominasi oleh etnik Melayu, tidak bertanggungjawab dan sensitif kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Presiden Umno itu berkata, apa yang dinyatakan bekas Peguam Negara itu tidak logik dan bersikap prejudis sedangkan ketika pentadbiran PH juga terdapat pemimpin atau ahli terdiri daripada Melayu.

“Beliau (Tommy) menyatakan ‘kegagalan kerajaan’ ketika ini didominasi orang Melayu. Beliau memuji kerajaan PH pula sedangkan kerajaan PH 22 bulan dahulu ditadbir juga oleh orang Melayu. Malah ramai mereka kini berada dalam kerajaan PN.

“Mereka ini bukan sahaja Melayu, terdapat juga etnik India, Cina dan Dayak. Maknanya Tommy terlalu obses, prejudis hingga melabel etnik Melayu tanpa melihat perspektif menyeluruh dan luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid, Tommy mungkin lupa mengenai statistik 2021 bahawa Melayu dan Bumiputera mewakili 69.8 peratus rakyat Malaysia, etnik India 6.8 peratus dan Cina 22.4 peratus.

“Apa makna statistik ini? Ini bermakna mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikan etnik yang membentuk majoriti dalam apa-apa keputusan politik dan pembentukan kerajaan.

“Dari segi agihan jawatan Kabinet ia perlu mencerminkan dan berdasarkan jumlah populasi negara dan ini berlaku sejak dahulu hingga kini, malah diterima secara menyeluruh dan menjadi amalan demokrasi tanpa mengabaikan etnik minoriti,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu dan Bumiputera terkenal dengan sikap bertolak ansur dan tidak rasis.

“Walaupun ramai mereka cemerlang di peringkat asasi dan matrikulasi mencapai Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 4.0, tetapi ramai Melayu Bumiputera kurang berpeluang mengikuti kursus yang mereka minati seperti bidang perubatan.

“Namun, mereka tidak menggunakan isu itu sebagai dipinggirkan dan tak pula mereka dengki terhadap etnik lain yang mendapat tempat tersebut.

“Di mana-mana tempat perkampungan Melayu dan Bumiputera ada sahaja kedai Cina khususnya dan India. Perniagaan mereka ini disumbangkan oleh kuasa ekonomi Melayu Bumiputera yang memakmurkannya tanpa sikap prejudis dan rasis.

“Justeru, Tommy lupa kedudukan beliau capai hingga dilantik Peguam Negara oleh Yang di-Pertuan Agong disebabkan Malaysia sebuah negara harmoni dari segi perpaduan walaupun beliau dikecam kerana tidak fasih bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara,” katanya.

Baru-baru ini, Tommy menyelar dua pentadbiran kerajaan selepas PH tumbang pada 2020, mendakwa ia menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi etnik Melayu.

Bercakap dalam satu forum di Kuala Lumpur, Tommy berkata kerajaan yang mentadbir negara ketika ini menggambarkan konsep “ketuanan Melayu”.

“Dalam tempoh dua tahun setengah, anda ada Kabinet yang didominasi oleh orang Melayu.

“Selepas dua tahun setengah itu, anda ada persoalan penting untuk diutarakan: Adakah kerajaan Melayu lebih efisien dan lebih baik?

“Biar betul! Mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran,” katanya. – Malaysiapost

Komen