Wajibkan kursus keselamatan negara sebagai pra syarat bertanding PRU

Wajibkan kursus keselamatan negara sebagai pra syarat bertanding PRU

AHLI politik yang ingin bertanding dalam pilihanraya akan datang perlu diwajibkan mengikuti kursus keselamatan negara sebagai pra syarat menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Perkara ini dicadangkan penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang berkata, ia bagi memastikan ideologi setiap wakil rakyat tidak bertentangan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Desakan bagi mewajibkan kursus keselamatan negara kepada ahli politik sebagai syarat menjadi calon pilihan raya akan datang harus dikemukakan.

“Ini kerana dalam keadaan ketidak ketentuan ancaman global pada masa kini kewibawaan pemimpin negara harus lebih peka kepada isu keselamatan negara dari pelbagai aspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Nirwandy menegaskan, pemahaman asas dasar keselamatan negara serta sejarah penubuhan negara yang berasaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghayatan elemen Rukunegara harus difahami sepenuhnya oleh bakal pemimpin negara daripada kalangan ahli politik.

“Ia penting bagi memastikan pembangunan sosio politik ekonomi negara tidak dipengaruhi oleh elemen yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Keadaan geopolitik tidak menentu, ancaman keselamatan serta isu berkepentingan masyarakat pada hari ini memerlukan kewibawaan pemimpin yang boleh menyelamatkan negara dari pelbagai ancaman dalam dan luar negara yang berbentuk nyata dan subversif.

“Kursus asas ini harus dijadikan syarat wajib bagi kriteria pemilihan wakil rakyat dan harus diwujudkan segera,” katanya.

Dr Noor Nirwandy menambah, penubuhan pelbagai parti politik sejak kebelakangan ini daripada pelbagai latar belakang ahli politik termasuklah berkemungkinan dari kalangan undi muda 18 tahun akan menyaksikan juga banyak janji serta manifesto parti politik bagi meraih sokongan pengundi termasuk pengundi muda 18 tahun.

“Justeru masyarakat perlu diyakinkan bahawa ahli politik negara memahami teras utama keselamatan negara dari pelbagai aspek keselamatan bagi menjamin pembangunan mampan negara serta kekal berdaulat mengikut prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sepenuhnya.

“Kita mahukan ahli politik yang dari pelbagai latar belakang dan berkualiti yang mampu berinovasi memacu kemajuan negara tetapi pada yang sama tidak akan mengetepikan ancaman keselamatan negara yang semakin kompleks pada hari ini.

“Ini termasuklah dari segi identiti serta ideologi yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara mahupun cubaan invasi luar terhadap pertumbuhan ekonomi dan pemilikan aset strategik negara,” katanya. -Malaysiapost

Komen