Adakah Muhyiddin akan dipecat sebagai Pengerusi MPN?

Adakah Muhyiddin akan dipecat sebagai Pengerusi MPN?

LIM Guan Eng membangkitkan persoalan sama ada Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diminta meletak jawatan susulan kritikan terbukanya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Pengerusi DAP itu berkata, Muhyiddin secara langsung mencabar dengan mengatakan kepimpinan yang gagal berkemungkinan menjadi punca hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, keadaan saling menyalahkan antara kedua-dua pemimpin berkenaan boleh dihentikan dengan Ismail Sabri meminta Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPN.

“Tidak ada gunanya Ismail Sabri menyalahkan Muhyiddin dengan menyatakan Menteri Bersatu di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed yang menguruskan ekonomi.

“Ia selepas Muhyiddin memutuskan hubungan bersama Perdana Menteri dengan mengguna pakai naratif ekonomi Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Muhyiddin melahirkan kekecewaan kerana cadangannya untuk lanjutan moratorium pinjaman bank untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan menangani kekurangan pekerja asing, terutamanya dalam industri minyak sawit tidak diendahkan.

“Ini mengiakan hujah PH bahawa kekurangan buruh akibat ketidakcekapan Menteri telah mengakibatkan unjuran kerugian industri minyak sawit sebanyak RM28 bilion tahun ini, meningkat daripada RM21 bilion tahun lepas,” katanya.

Guan Eng berkata, apa gunanya mengekalkan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN jika cadangan beliau dan MPN tidak diendahkan dan diketepikan.

“Ismail Sabri perlu membuat keputusan sebelum bulan depan sama ada akan tunduk kepada tekanan dan kepentingan politik Umno yang menggesa pilihan raya umum ketika musim tengkujuh banjir besar tahun ini.

“Tetapi dia mesti melakukannya daripada kedudukan yang kuat serta berkuasa, dan bukan dengan kerajaan yang berpecah-belah,” katanya.

Pada Isnin lalu, Muhyiddin dalam satu kenyataan mendakwa Perdana Menteri tidak memandang serius pelbagai isu dibangkitkan dan cadangan daripada MPN.

Menurutnya, mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri itu pada masa ini.

Susulan itu, Ismail Sabri dalam maklum balasnya mengenai perkara itu berkata, semua pihak termasuk MPN turut bertanggungjawab sekiranya kerajaan didakwa gagal dalam menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Beliau berkata, ini kerana usaha memastikan pentadbiran dan pengurusan negara serta ekonomi bukanlah digalas beliau secara individu, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama. – Malaysiapost

Komen