Adam Lee, Sweet Qismina kini sibuk persiapan kahwin

Adam Lee, Sweet Qismina kini sibuk persiapan kahwin

PELAKON Adam Lee dan tunangnya yang juga aktres, Sweet Qismina teruja menghitung hari bahagia bakal disatukan sebagai suami isteri.

Menariknya, Adam mengakui perasaan terujanya muncul apabila mengambil keputusan menguruskan bersama Sweet persiapan perkahwinan mereka yang bakal berlangsung sebulan lagi tanpa melantik perancang perkahwinan.

“Sudah tentu perasaan saya sememangnya teruja mahu menuju hari bahagia kami yang berbaki sebulan lagi. Saya memang teruja menantikan saat ini (perkahwinan).

“Sejujurnya, boleh dikatakan kami berdua amat penat juga kerana menjadi ‘wedding planner’ untuk majlis sendiri dan pada masa sama kami masih bekerja.

“Sebenarnya kami urus dan buat segala persiapan bermula dari kosong sehingga ke hari ini. Kami sendiri turun padang untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Kami tak lantik wakil perunding majlis,” katanya dipetik URTV.

Meskipun sibuk memastikan hari bahagia mereka berjalan lancar, namun Adam menjelaskan, dia dan Sweet masih sibuk turun ke lokasi penggambaran.

“Dalam sibuk uruskan majlis kahwin, saya dan Sweet masih perlu turun bekerja di lokasi penggambaran.

“Jadual kerja kami juga tak sama seperti pekerjaan-pekerjaan lain. Keluar pagi, balik pagi, dan semua itu agak mencabar sebenarnya.

“Tapi apa-apa pun kami tetap bersyukur sebab segalanya berjalan seperti yang dirancangkan. Boleh dikatakan persiapan kini sudah menghampiri 75 hingga 80 peratus selesai,” ujarnya.

Adam,27 dan Sweet,24, melangsungkan pertunangan pada 24 Oktober tahun lalu selepas menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun. – Malaysiapost

Komen