Banjir hanya alasan untuk lawan BN tangguh PRU15 – Ahmad Zahid

Banjir hanya alasan untuk lawan BN tangguh PRU15 – Ahmad Zahid

LAWAN Barisan Nasional (BN) dicabar untuk ‘tekan butang’ sekarang untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terhampir bagi mengelakkan proses demokrasi itu berlaku ketika musim tengkujuh.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membuat cabaran itu agar semua pihak berkenaan membuktikan isu banjir bukan digunakan sebagai alasan untuk pilihan raya tidak diadakan tahun ini.

Menurutnya, BN sememangnya telah lama minta supaya PRU-15 diadakan terutama selepas imuniti kelompok Covid-19 dicapai bagi mengembalikan kestabilan di negara ini.

“Kita menuntut mandat diserahkan semula kepada rakyat untuk membolehkan masyarakat Malaysia membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan sehaluan dalam mendepani pasca pendemik.

“Bagaimanapun lawan BN membantah dan memberi alasan demi alasan kerana mereka tahu sedang berada dalam kedudukan ditolak oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai tohmahan terhadap ucapannya semasa Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN pada 17 September lalu yang mengatakan kalau Perdana Menteri bubar Parlimen masa banjir pun BN sanggup redah untuk berkempen.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, alasan diberikan pihak berkenaan bermula dengan negara masih di peringkat pandemik dan seterusnya menggunakan alasan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan apabila memasuki fasa ke endemik.

“Kini mereka menggunakan pula alasan banjir’ sedangkan bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) mereka pernah mengadakan PRU pada November 1999.

“Rumusannya mudah sahaja. Berdasarkan ucapan saya BN telah bersedia menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa sekali pun,” katanya.

Menurutnya, BN juga percaya kepada kemampuan dan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjayakan amalan demokrasi dalam sebarang situasi.

“Namun, jika benar lawan BN khuatir PRU-15 diadakan semasa banjir’, bukannya alasan terbaru demi menyelamatkan politik mereka maka kita adakan PRU-15 sekarang.

“Sudah masa untuk mereka ‘walk the talk’ dan tekanlah butang’ supaya SPR boleh tetapkan tarikh terhampir untuk rakyat memilih sebuah kerajaan baharu yang stabil dan lebih kukuh.

“Rakyat tidak pernah lupa dan mudah tertipu lagi dengan kisah yang telah dipertontonkan oleh kerajaan 22 bulan,” katanya.

Sementara itu menjelaskan lebih lanjut mengenai ucapannya yang mengatakan BN bersedia jika PRU-15 diadakan walaupun ketika banjir, Ahmad Zahid menegaskan ia untuk memberi gambaran kepada Perdan Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob betapa jentera BN telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa walau apa jua keadaan dan situasi.

“Ucapan itu juga jelas bagi memberi gambaran kepada Perdana Menteri bahawa jentera BN sanggup meredah segala cabaran demi memastikan kemenangan pada PRU-15 milik BN.

“Bagaimanapun ucapan bagi menyatakan semangat serta kesiapsiagaan jentera BN itu dimanipulasi dan dipropagandakan konon BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen