BN rakan Ta’awun: Petanda PAS tak mahu ikut telunjuk Muhyiddin? – Lokman Adam

BN rakan Ta’awun: Petanda PAS tak mahu ikut telunjuk Muhyiddin? – Lokman Adam

KENYATAAN PAS semalam yang menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah rakan Ta’awun, manakala Pakatan Harapan (PH) dan ‘khemah besar’ sebagai musuh sebenar, seakan menggambarkan parti itu tidak mahu lagi ‘mengikut telunjuk’ Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata kenyataan itu seperti menggambarkan PAS menyelar Bersatu dan tidak bersetuju dengan Muhyiddin untuk menjadikan BN sebagai musuh.

“PAS semalam keluarkan kenyataan musuh sebenar mereka ialah PH dan ‘khemah besar’. Siapa sebenarnya yang mengilhamkan khemah besar?

“Salah seorang yang mengusahakannya ialah Muhyiddin, dalam erti kata lain ini bibit-bibit menggambarkan bahawa PAS sudah tak mahu mengikut telunjuk Muhyiddin.

“Ia juga menunjukkan PAS menolak cadangan Muhyiddin untuk mewujudkan khemah besar kerana ia dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah serta sekutu mereka,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS kekal pendirian menjalinkan hubungan bersama Umno dan BN sebagai rakan Ta’awun.

Sehubungan itu, katanya, PAS tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya kata Takiyuddin, parti itu tetap menegaskan bahawa musuh sebenar Penyatuan Ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk ‘Khemah Besar’.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, kenyataan terbaharu PAS itu menggambarkan parti itu mula sedar jika bertembung dengan Umno dalam PRU15, ia tidak akan menguntungkan mereka.

“Saya percaya PAS pun tahu hari ini kalau berrtembung dengan Umno, mereka akan hilang lebih separuh kerusi yang mereka tandingi, silap-silap Kelantan pun akan hilang.

“Perkara ini kawan-kawan dalam PAS lebih faham, cuma sebelum ini cuba menafikannya,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihati kepimpinan PAS agar menunjukkan kesetiaan jika mahu bekerjasama dengan menganggap BN sebagai rakan Ta’awun.

Tambahnya, kesetiaan itu tidak terlihat sebelum ini apabila PAS tergamak menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu, sedangkan telah menandatangani Piagam Muafakat Nasional (MN) bersama Umno pada 2019.

“Dengan Umno dia (PAS) anggap rakan Ta’awun, tiba-tiba kerjasama pula Bersatu iaitu parti serpihan PH. Sama juga kalau Umno tiba-tiba kerjasama dengan Parti Amanah, tentu PAS marah.

“Namun Kalau mahu kerjasama, nak Ta’awun atau tahaluf siyasi, saya yakin kalau PAS tinggalkan Bersatu atau nak masuk BN, saya tak rasa Umno kejam nak tutup pintu kerjasama.

“Tetapi PAS kena tunjuk ia setia dan dilihat setia,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen