Kesihatan tubuh badan saya kembali normal – Jamal

Kesihatan tubuh badan saya kembali normal – Jamal

DATUK Seri Jamal Md Yunos mengesahkan beliau kini kembali sihat dan dibenarkan keluar dari wad hospital.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkongsi khabar kesihatannya di Facebook yang memaklumkan beliau turut disahkan bebas daripada sebarang penyakit termasuk kanser paru-paru.

“Saya sudah discaj dari hospital. Alhamdulillah, saya selesai menjalani rawatan dan dibenarkan discaj dari hospital Prince Court Kuala Lumpur pada tengah hari ini.

“Pegawai Perubatan yang merawat saya telah mengesahkan kesihatan tubuh badan saya kembali normal seperti sediakala dan sihat untuk bertugas.

“Saya juga telah disahkan pulih sepenuhnya dari penyakit Kanser Paru-paru Tahap 4 yang saya hidapi sebelum ini berdasarkan pemeriksaan susulan yang dijalankan pihak hospital,” katanya.

Jamal juga menjelaskan, kesibukan memenuhi program parti di samping mengalami keracunan makanan menyebabkan beliau rebah dan terpaksa dikejarkan ke hospital, Sabtu lalu.

“Keadaan kesihatan saya yang merudum pada Sabtu lalu adalah disebabkan beban tugas yang terlampau pada Jumaat dan Sabtu sehingga saya terpaksa menghadiri hampir 20 program dalam masa dua hari.

“Keadaan bertambah buruk lagi apabila saya didapati terkena keracunan makanan di dalam salah satu majlis tersebut sehingga menyebabkan saya pitam dan akhirnya rebah,” katanya.

Pada masa sama, Jamal mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya kembali pulih.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak dan individu yang sudi melawat dan mendoakan kesihatan saya sepanjang saya terlantar di hospital,” katanya. – Malaysiapost

Komen