Luah perasaan, tekanan di MENTARI

Luah perasaan, tekanan di MENTARI

Ben Ibrahim

MEREKA yang berdepan masalah kemurungan dan ingin meluahkan perasaan diminta mengunjungi Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) disediakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.

Saranan itu diberikan Pengarah JKN Pahang, Datuk Noor Azimi Yunus dalam sidang media di Jerantut, hari ini.

Beliau berkata, fungsi MENTARI ialah bagi memberi ruang kepada individu berdepan masalah tekanan hidup untuk berkongsi dengan petugas di pusat berkenaan.

“Sesi rawatan adalah rahsia dan identiti mereka yang mengunjungi pusat itu juga dilindungi sepenuhnya.

“Tujuan utama ialah untuk memastikan individu terbabit dapat dirawat tanpa sebarang stigma atau persepsi tertentu daripada masyarakat sekeliling,” katanya.

Terdahulu, Noor Azimi merasmikan Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Pahang di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut.

Beliau berkata, terdapat dua MENTARI beroperasi di Pahang, iaitu di Mentakab, dekat Temerloh dan Balok, di Kuantan.

“Individu bermasalah kemurungan atau berdepan tekanan jiwa boleh terus ke sana secara ‘walk-in’ untuk sesi rawatan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai punca kes bunuh diri pula, Noor Azimi berkata, peranan masyarakat dan keluarga sangat penting bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berlaku.

“Semua pihak perlu peka dengan orang di sekitar mereka, kena tunjukkan sikap prihatin dan dengar luahan mereka yang mempunyai tanda kemurungan.

“Faktor kejadian bunuh diri ini banyak, bukan hanya disebabkan masalah psikiatrik sahaja.

“Mungkin disebabkan isu lain seperti masalah kewangan, kekeluargaan, masalah sosial dan ada kes tertentu, mangsa membunuh diri akibat dibuli,” katanya.

Noor Azimi memaklumkan program pencegahan seumpama ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan pelbagai agensi dan penyertaan masyarakat dalam usaha mencegah kejadian bunuh diri terus berlaku di negara ini. – Malaysiapost

Komen