Mahkamah benar Fazlette beri keterangan kes Zahid

Mahkamah benar Fazlette beri keterangan kes Zahid

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan saksi kedua pembelaan, Mejar Jeneral (B) Datuk Fazlette Othman Merican untuk memberi keterangan.

Ia bagi mencabar kredibliti saksi pendakwaan iaitu bekas Setiausaha Ekkekutif  kepada bekas Timbalan Perdana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Bagaimanapun Hakim, Datuk Collins Lawrence Sequerah mengarahkan beberapa kandungan ayat dalam keterangan bertulis yang dikemukakan pihak pembelaan dibuang.

Ini kerana katanya, ia tidak berkaitan dengan kes dan bersifat pandangan peribadi Fazlette.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, sebelum ini memberi tekanan supaya Fazlette tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

Selain itu beliau meminta pindaan atau suntingan terhadap beberapa ayat daripada keterangan bertulis yang dikemukakan pembelaan.

Peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Tek, bagaimanapun berhujah keterangan Fazlette yang juga bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid, perlu diterima oleh mahkamah selagi ia berkaitan dan menyentuh isu kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif di Yayasan Akalbudi itu.

Hisyam berhujah, keterangan Fadzlette, adalah relevan bagi anak guamnya  mencabar keterangan yang diberikan oleh Mejar Mazlina.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan meliputi kes pecah amanah (12), rasuah (lapan) dan pengubahan wang haram (27) membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman serta sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia. – Malaysiapost

Komen