“Marzuki kena nasihat Muhyidin untuk tekan butang” – Shahrir Samad

“Marzuki kena nasihat Muhyidin untuk tekan butang” – Shahrir Samad

DATUK Dr Marzuki Mohamad diminta menasihati bekas majikannya Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera ‘tekan butang’ jika merasakan rakyat lebih berpuas hati dengan kepimpinan presiden Bersatu itu berbanding Perdana Menteri kini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Veteran Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata ia bagi membuktikan dakwaan Marzuki mengenai kajian bahawa sepanjang Muhyiddin berkhidmat sebagai Perdana Menteri, 67 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasinya.

Menurutnya, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin itu juga mendakwa Ismail Sabri hanya mendapat markah atau ‘approval rating’ yang menurun secara konsisten dengan purata 45 peratus.

“Apa nak tunggu lagi? Marzuki kena nasihat Muhyidin untuk ‘tekan butang’.

“Tak hendak ‘tekan butang’, boleh juga ‘pull the plug’, iaitu orang-orang PPBM (Bersatu) dan PN (Perikatan Nasional) yang ramai dalam Jemaah Menteri boleh tarik sokongan daripada Ismail Sabri sebagai PM (Perdana Menteri). Kan senang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Shahrir mengulas mengenai kenyataan Marzuki yang mendakwa rakyat lebih berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin berbanding Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Marzuki mendakwa berdasarkan kajian Merdeka Centre for Opinion Research, Ismail Sabri memperoleh markah gagal iaitu purata 45 peratus, manakala Muhyiddin mendapat markah lulus dengan 67 peratus.

Sementara itu, Shahrir secara sinis berkata jika Muhyiddin ‘tekan butang’ atau tarik sokongan sekarang, pasti Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN itu dengan mudah mengalahkan Perdana Menteri yang hanya mendapat markah 45 peratus dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – Malaysiapost

Komen