MFL batal slot Piala Malaysia untuk Melaka United

MFL batal slot Piala Malaysia untuk Melaka United

MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengumumkan Melaka United FC tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Keputusan dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas kelab Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh ditetapkan.

MFL menerusi kenyataan memaklumkan, Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain terlibat sehingga 20 September.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“MFL mengingatkan agar Melaka United menyelesaikan baki tunggakan gaji bagi mengelak mereka tidak diberi lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,” katanya.

Menurut MFL, pihaknya akan membuat pengumuman dalam masa terdekat berkenaan pasukan yang akan menggantikan slot Melaka United untuk Piala Malaysia.

Sementara itu, MFL memaklumkan Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga Ogos 2022.

“Bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga Julai namun Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan pihak pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” katanya. – Malaysiapost

Komen