Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang selepas rawatan

Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang selepas rawatan

JABATAN Penjara Malaysia mengesahkan Datuk Seri Najib Razak kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Menerusi kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan pada 19 September lalu, pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjut sehingga kini.

“Datuk Seri Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau HKL memberi pelepasan perubatan ke atas beliau.

“Sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, Jabatan Penjara selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan, juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga.

“Ini termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana disyorkan pegawai perubatan kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 12 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Selaras Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukan di bawah Akta tersebut serta United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (Mandela Rules), Jabatan Penjara telah menghantar Najib ke HKL untuk rawatan oleh pakar perubatan. – Malaysiapost

Komen