Najib, anak dibenar gantung penghakiman kes cukai LHDN

Najib, anak dibenar gantung penghakiman kes cukai LHDN

DATUK Seri Najib Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin hari ini berjaya mendapatkan perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes cukai tertunggak berjumlah lebih RM1.7 bilion.

Penggantungan itu adalah sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Perintah itu direkodkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

“Perintah untuk menggantung pelaksanaan penghakiman terus dibenarkan sementara menunggu pelupusan rayuan kedua-dua perayu di Mahkamah Persekutuan,” kata Tengku Maimun dalam prosiding yang dijalankan melalui sidang video, hari ini.

Terdahulu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili bekas Perdana Menteri dan anaknya, memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa LHDN selaku responden tidak membantah permohonan itu.

Perkara itu turut disahkan oleh Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus yang mewakili LHDN.

Pada 10 Mei lalu, Najib dan Mohd Nazifuddin dibenar meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak.

Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu. – Malaysiapost

Komen