Najib perlu rawatan fisioterapi – KJ

Najib perlu rawatan fisioterapi – KJ

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan Datuk Seri Najib Razak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan rawatan fisioterapi.

Bagaimanapun Khairy tidak menjelaskan perincian mengenai penyakit bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan menegaskan Najib tidak diberikan layanan istimewa.

“Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

“Berikutan itu, dia dirujuk ke HKL di mana dia dirawat untuk keadaan kesihatannya dan dia menjalani beberapa ujian.

“Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi.

“Dan sebahagian daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya bagaimana untuk melakukannya sendiri, kerana dia akan dibenarkan keluar sebaik pakar berpuas hati dia tidak lagi perlu masuk wad,” katanya pada sidang media petang ini.

Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Datuk Seri Najib Razak kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) susulan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Menerusi kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan pada 19 September lalu, pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjut sehingga kini.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau telah mengarahkan HKL menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenainya. – Malaysiapost

Komen