Pemuda Umno desak hasil siasatan buku Tommy Thomas didedahkan

Pemuda Umno desak hasil siasatan buku Tommy Thomas didedahkan

PEMUDA Umno mendesak agar kerajaan segera mendedahkan hasil siasatan Pasukan Khas yang telah ditubuhkan untuk menyiasat isu kandungan buku karangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pendedahan hasil siasatan buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara.

“Malah lebih mustahak mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara secara keseluruhannya agar tiada pihak teraniaya dan menjadi mangsa kepada politik pihak berkepentingan,” katanya hari ini.

Pada 9 Oktober 2021, Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan berhubung dakwaan Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan pasukan petugas tersebut ditubuhkan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap Thomas.

Pasukan itu antara lain bertujuan menyiasat dakwaan Thomas mengenai salah guna kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata pada 5 Februari lalu, Pemuda Umno telah membangkitkan lapan isu utama yang boleh mengaitkan bekas Peguam Negara itu dengan pelbagai salah laku.

Katanya, ia melibatkan integriti badan kehakiman dan sistem kedaulatan undang-undang negara.

“Antaranya termasuklah penyalahgunaan kuasa dalam Isu pelantikan hakim, kebebasan badan kehakiman, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan serta pendakwaan terpilih dan bersifat politik.

“Selain itu pelanggaran sumpah kerahsiaan, pelanggaran etika untuk melobi jawatan Peguam Negara dan penghinaan kepada institusi perundangan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen