Pendatang asing warga Indonesia ditemui terapung di perairan Pulau Pintu Gedong

Pendatang asing warga Indonesia ditemui terapung di perairan Pulau Pintu Gedong

AGENSI Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia selepas diselamatkan apabila ditemukan terapung di perairan Pulau Pintu Gedong, Klang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata, keempat-empat warga asing itu ditemui di kedudukan kira-kira 0.7 batu nautika Pulau Pintu Gedong.

Menurutnya, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bharu berkenaan aduan awam bahawa terdapat empat orang ditemukan terapung di lokasi berkenaan sekitar jam 2.15 petang.

Beliau berkata, susulan itu bot Petir 83 dihantar ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan, namun sebelum pasukan operasi tiba, keempat-empat mangsa didapati telah diselamatkan oleh sebuah kapal pandu (pilot boat) milik Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, empat lelaki warga Indonesia dalam lingkungan umur 26 hingga 43 tahun itu disyaki PATI cuba dibawa keluar dari Malaysia tetapi terkandas di Pulau Che Mat Zin kerana ditipu oleh ejen sindiket penyeludupan migran.

“Difahamkan, mereka nekad berenang menyeberangi laut untuk ke Pulau Indah setelah empat hari ditinggalkan tanpa makanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua PATI yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat maritim negeri Selangor untuk tindakan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan serta permit masuk yang sah kepada penguatkuasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen