PH tubuh jawatankuasa runding penyertaan MUDA, PSM

PH tubuh jawatankuasa runding penyertaan MUDA, PSM

PAKATAN Harapan (PH) membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan pihak Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung permohonan untuk bekerjasama dengan PH secara rasmi.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jawatankuasa itu akan dianggotai seorang wakil dari setiap parti komponennya.

“Majlis Presiden PH dalam mesyuarat hari ini meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan MUDA serta hasrat PSM untuk bekerjasama dengan PH secara rasmi.

“Hasrat MUDA dan PSM ini bererti parti yang bersedia berpegang kepada prinsip dan berada di landasan yang sama dengan PH dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pada masa sama, pertembungan kerusi pada PRU15 akan dapat dielakkan,” menurut kenyataan itu

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut Majlis Presiden PH, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (AMANAH), Datuk Ewon Benedick (UPKO), Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (AMANAH), Loke Siew Fook (DAP) dan Madius Tangau (UPKO).

Sebelum ini Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilaporkan berkata partinya berhasrat menyertai PH sebagai komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-15.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arulchelvan, pula mengesahkan pihaknya sudah menghantar surat rasmi untuk menyertai PH sejak dua bulan lalu. – Malaysiapost

Komen