PM didesak beri penjelasan dakwaan Najib dilayan VVIP

PM didesak beri penjelasan dakwaan Najib dilayan VVIP

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didesak untuk memberi penjelasan mengenai dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara telah mendapat layanan istimewa termasuk biliknya yang diubah suai dan dinaikkan taraf. 

Perkara itu disuarakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang berkata, Perdana Menteri dan kementerian yang berkaitan patut memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kenyataan yang tular di media sosial, mendakwa Najib diberi layanan istimewa dan tidak menghuni di penjara. 

“Saya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk memberi maklumbalas dan penjelasan adakah benar perkara yang seperti ditularkan oleh mesej berkenaan sedang berlaku? 

“Apakah Najib Razak seorang banduan yang sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kajang masih tetap dilayan seperti seorang VIP serta segala kehendak dan kemahuan beliau sedang dituruti?” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial, mesej panjang yang mendakwa Najib yang sepatutnya menjalani hukuman di Penjara Kajang menggunakan pelbagai helah antaranya dengan alasan sakit bagi mendapatkan rawatan di hospital sekali gus dapat bertemu ahli keluarganya. 

Malah, mesej yang tular itu mendakwa bekas Perdana Menteri itu juga mengambil kesempatan  berjumpa rakan politik bagi merancang pelbagai rencana politik. 

Mesej tersebut turut menyatakan nama samaran ‘merpati’ untuk Najib turut menyebut pihak penjara mendapat kelulusan segera sebanyak RM50,000.00 untuk menaik taraf bilik penjara beliau dan kemudiannya tambahan sebanyak RM3.5 juta lagi dari KDN bagi urusan kenderaan, kesihatan dan penempatan.

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan Najib kini berada di Hospital Rehabilitasi Cheras bagi mendapatkan rawatan yang secara tidak langsung menunjukkan mesej yang tular itu ada fakta kebenarannya. 

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar yang merupakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menegaskan, semua wang yang diperuntukkan untuk keselesaan Najib adalah daripada wang rakyat. 

“Rakyat mahu lihat seorang banduan menjalani hukuman yang setimpal atas kesalahan yang telah Najib lakukan, bukannya menggunakan lagi wang rakyat hanya untuk memanjakan lagi Najib yang sepatutnya di penjara. 

“Saya juga mendesak Jabatan Peguam Negara menyiasat serta mendapatkan penjelasan dari Jabatan Penjara Malaysia apakah Najib sedang benar-benar menjalani hukuman penjara seperti yang sepatutnya oleh seorang banduan,” kata pemimpin PKR itu. 

Bagaimanapun, pada sidang media petang tadi, Khairy Jamaluddin telah memaklumkan Najib dirawat di hospital kerana menjalani  fisioterapi bagi rawatan penyakitnya. -Malaysiapost

Komen