PM ketuai delegasi ke UNGA77 di New York

PM ketuai delegasi ke UNGA77 di New York

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-77 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA77) di New York, Amerika Syarikat (AS) dari 22 hingga 25 September ini.

Kementerian Luar Negeri melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini, memaklumkan lawatan kerja itu adalah penglibatan kali kedua Ismail Sabri ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Menurut Wisma Putra, sewaktu Sesi ke-76 Perhimpunan Agung PBB, ekoran pandemik Covid-19, Perdana Menteri telah menyampaikan kenyataan Malaysia menerusi rakaman video.

“Pada tahun ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia secara fizikal semasa sesi Debat Umum pada 23 September ini. 

“Kenyataan negara ini buat julung-julung kalinya akan disampaikan dalam Bahasa Melayu di pentas berprestij PBB oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Ini merupakan inisiatif murni Ismail Sabri untuk memartabatkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa terutamanya di platform PBB. Usaha ini jelas akan melakar sejarah penting buat negara,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan, tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini iaitu “Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada cabaran bersaling kait” menumpu kepada kepentingan sistem PBB untuk Kekal relevant pada masa ini.

Menurutnya, tema itu akan memberikan penekanan kepada komitmen para pemimpin Dunia dalam menangani cabaran yang dihadapi dunia seperti pandemik Covid-19, konflik Rusia-Ukraine dan juga perubatan iklim.

“Bagi UNGA77, Perdana Menteri dijangka akan mengetengahkan pemeteraian empat perjanjian melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Palestin, antaranya penubuhan Jawatankuasa Mesyuarat Bersama, kerjasama dalam bidang kesihatan, pelancongan dan juga hal-hal berkaitan agama Islam.

“Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela UNGA77 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama. Pertemuan itu akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam ‘Keluarga Malaysia’s bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York. – Malaysiapost 

Komen