PRU15: Kit Siang tolak dakwaan bertanding Parlimen Bakri

PRU15: Kit Siang tolak dakwaan bertanding Parlimen Bakri

AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menolak dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad bahawa beliau tidak akan mempertahan kerusinya, sebaliknya ingin ‘beralih angin’ ke Parlimen Bakri.

Pemimpin kanan DAP itu turut menegaskan, beliau sudah bersara daripada politik dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bagi maklumat Hasni, saya telah bersara dari politik yang kompetitif dan saya tidak menyedari sebarang mesyuarat DAP baru -baru ini yang didakwa membincangkan pencalonan saya untuk kerusi Parlimen Bakri pada PRU15.

“Saya tidak tahu di mana Hasni mendapat maklumat tetapi dia terbukti menjadi pemimpin politik dan ahli strategi yang menyuarakan maklumat palsu.

“DAP dan Pakatan Harapan mesti bersyukur kerana Hasni adalah pemimpin Umno di Johor yang percaya dalam maklumat salah,” kata katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal tahun lalu, ketika Kongres Nasional DAP di Shah Alam, Kit Siang yang menyandang kerusi Parlimen Iskandar Puteri bagi dua penggal memaklumkan beliau tidak bertanding dalam PRU15.

Isnin lalu, Hasni berkata, beliau memperoleh maklumat Kit Siang akan bertanding dalam PRU15 dan perkara itu diputuskan DAP dalam mesyuarat parti itu baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen