Steven Sim hadir kenduri kesyukuran di rumah baru Pak Long

Steven Sim hadir kenduri kesyukuran di rumah baru Pak Long

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hadir kenduri kesyukuran di kediaman baru Pak Long, semalam.

Warga emas berusia 63 tahun itu merupakan individu yang dibantu Sim berikutan terpaksa menumpang di sebuah pejabat komuniti sebelum ini kerana tidak mampu bekerja sekali gus membayar sewa susulan sakit.

“Ingat lagi kat Pak Long yang terpaksa tidur di surau sebab tak mampu bayar sewa rumah? Semalam kami buat kenduri kesyukuran kat rumah baru yang saya sediakan untuk Pak Long,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sim berkata, kenduri itu turut diraikan bersama rakan-rakan Pak Long yang pernah membantu dirinya ketika susah.

“Dia jemput kawan-kawan yang telah banyak membantu dulu, sebagai mengenang budi mereka.

“Antaranya, Zam tauke gerai burger dan Abe dan Zaidi tauke roti canai. Ketika Pak Long susah, depalah yang bagi dorongan, hulur bantuan, bagi kerja kat gerai depa, adalah sedikit wang saku buat kelangsungan hidup.

“Walaupun mereka bukan orang-orang yang mewah tapi tetap menghulurkan bantuan. Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dikenang selamanya.

“Terima kasih kawan-kawan. Semoga dipermudahkan rezeki orang-orang yang berhati mulia ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen