2 bot nelayan Vietnam ditahan candat sotong

2 bot nelayan Vietnam ditahan candat sotong

Ben Ibrahim

JABATAN Perikanan Malaysia menahan dua bot milik nelayan Vietnam di perairan Pahang, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata bot itu ditahan kerana cuba melakukan aktiviti mencandat sotong di kawasan perairan negeri tersebut.

“Bot itu ditahan pada jarak 40.3 batu nautika dari Kuala Kuantan sekitar jam 9 pagi.

“Kehadiran bot terbabit dikesan melalui Sistem Pemantauan Vesel Jabatan Perikanan (ENAV) selain maklumat disalurkan nelayan tempatan.

“Ketika serbuan, kebanyakan awak-awak bot itu sedang berehat dan pemeriksaan lanjut mendapati ia sudah berada di perairan kita sejak dua hari sebelum ditahan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Seramai 12 awak-awak berusia 16 hingga 59 tahun ditahan bersama bot itu manakala lebih 20 kilogram sotong yang dipercayai hasil aktiviti mencandat turut dirampas.

Wan Muhammad Aznan sebelum itu melakukan tinjauan di jeti Jabatan Perikanan, Padang Lalang, dekat Kuantan, sempena program pemantauan vesel penangkapan ikan asing Zon Timur.

Mengulas lanjut mengenai penahanan bot itu, beliau berkata nelayan asing gemar melakukan aktiviti mencandat sotong di perairan Malaysia kerana saiz sotong yang besar dan boleh memberi keuntungan lumayan kepada mereka.

“Memang saiz sotong ditemui di perairan negara lebih besar dan boleh mencecah harga antara RM60 hingga RM80 sekilogram.

“Tambahan pula sekarang nelayan tempatan kurang turun ke laut akibat ombak besar dan permulaan Monsun Timur Laut, jadi nelayan asing mengambil kesempatan ini dengan menceroboh perairan Malaysia,” katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan Malaysia 1985 dan Seksyen 16 (3) Aka Perikanan Malaysia 1985 (Akta 317) kerana melakukan kesalahan memasuki perairan Malaysia dan melakukan penangkapan ikan di perairan Malaysia. – Malaysiapost

Komen