7 individu dilantik badan pemantau bebas SPRM

7 individu dilantik badan pemantau bebas SPRM

SERAMAI tujuh individu dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh dua tahun.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, dua daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang merupakan lantikan semula manakala empat lagi sebagai ahli PPPR baharu dan seorang lagi telah dilantik pada 1 April 2022.

“Kesemua individu terdiri daripada golongan profesional serta pakar dari pelbagai bidang yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.

“Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2024,” katanya.

Surat cara pelantikan PPPR itu disampaikan oPengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang sambil diiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Menurut SPRM, antara peranan ahli PPPR ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

“Selain itu, PPPR berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah.

“Dalam pada itu, PPPR berperanan menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta.

“Sementara itu, PPPR juga menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik dalam bidang-bidang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah,” katanya.

PPPR juga katanya, berperanan membantu SPRM sebagai key communicator dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya.

“Selain itu, PPPR berperanan mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),” katanya.

Ahli-ahli PPPR terdiri daripada:

1.YBhg. Tan Sri Borhan Dolah (Pengerusi) – Lantikan semula
Mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)

2.YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (Ahli) – Dilantik pada 1 April 2022
Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB)

3.YBhg Prof. Emerita Datuk Dr Asma Ismail (Ahli)
Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)

4.YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (Ahli) – Lantikan semula
Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya

5.YBhg. Datin Yasmin Tan Sri Ahmad Merican (Ahli)
Gabenor Institut Tabdir Urus Korporat Malaysia (MICG)

6.Yang Berusaha Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod (Ahli)
Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

7.Yang Berusaha Haji Ali Hassan Mohd Hassan (Ahli)
Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd

Komen