Bajet 2023 tidak akan lulus jika PRU-15 diadakan tahun ini – Anthony Loke

Bajet 2023 tidak akan lulus jika PRU-15 diadakan tahun ini – Anthony Loke

BAJET 2023 akan menjadi hanya sekadar ‘atas kertas’ sahaja dan tidak diluluskan jika Parlimen dibubarkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas ia dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, berkata ia kerana belanjawan negara memerlukan tempoh enam hingga tujuh minggu untuk dibahas dan diluluskan di Parlimen.

Menurutnya, jika pilihan raya diadakan pada 10 Oktober ini seperti desas desus yang tersebar, maka Bajet 2023 hanya akan diluluskan selepas kerajaan baru dipilih dan Menteri Kewangan baru akan membentang semula bajet berkenaan.

“Kalau kerajaan yang sama mungkin akan bentangkan bajet yang sama, tetapi kalau kerajaan yang baru dan Menteri Kewangan baru mesti bentangkan bajet yang baru.

“Katakan pilihan raya diadakan pada November dan kerajaan baru dibentuk serta Sidang Parlimen baru diadakan pada Disember, ia adalah kerja gila untuk selesaikan segala proses Bajet 2023,” katanya.

Beliau mengulas spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan pada 10 Oktober ini, iaitu tiga hari selepas pembentangan Bajet 2023, menerusi forum dalam talian bertajuk “Anthony Jawab Jujur”, malam tadi.

Menurutnya, jika bajet tidak diluluskan menjelang Disember ini, maka kerajaan tidak boleh membayar gaji penjawat awam menjelang tahun baharu.

Menjelaskan lebih lanjut, Anthony Loke berkata belanjawan negara adalah agenda paling penting dalam kalendar Parlimen setiap tahun kerana ia adalah perbelanjaan negara untuk setahun yang membabitkan ratusan billion ringgit.

“Perbahasan akan mengambil masa paling cepat enam minggu. Ini kerana selepas dibentangkan ia akan dibahas pada peringkat dasar selama dua minggu oleh Ahli Parlimen. Minggu ketiga Menteri-Menteri akan menjawab bagi pihak kementerian.

“Selepas itu undian akan dilakukan pada bacaan kali kedua dan jika diluluskan bajet berkenaan akan ke peringkat jawatankuasa yang mengambil masa kira-kira tiga minggu. Kemudian baru Kementerian Kewangan menggulung diikuti dengan undian pada bacaan kali ketiga,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan proses mengambil masa kira-kira tujuh minggu dan ia kalendar Parlimen setiap tahun dimana sidang Parlimen pada hujung tahun kebiasaannya akan bersidang hingga hujung November atau awal Disember.

“Kalau bentang 7 Oktober dan nak bubar Parlimen pada 10 Oktober ia bermakna Bajet 2023 tidak akan lulus atau bermaksud sekadar atas kertas sahaja,” katanya. – Malaysiapost

Komen