Bella persis ‘Puteri Elsa’ hadir ke mahkamah hari ini

Bella persis ‘Puteri Elsa’ hadir ke mahkamah hari ini

PENAMPILAN remaja kelainan upaya (OKU), Bella yang mengenakan pakaian watak Puteri Elsa dari animasi kegemarannya, Frozen menarik perhatian ramai ketika hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Bella hadir ke mahkamah selaku saksi terakhir pihak pendakwaan dalam kes penderaan ke atasnya, tahun lalu.

Aktivis masyarakat, Mona Din menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau berhasrat untuk menemui Bella untuk menghadiahkan sepasang baju kurung berwarna merah jambu kepada remaja itu.

Dalam perkongsian itu, Mona berkata walaupun cuaca pagi tadi hujan dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pergerakannya seperti dipermudah untuk bertemu dengan remaja kesayangan ramai itu.

Katanya, ketika masuk ke perkarangan bangunan, beliau terkesima apabila melihat seorang ‘puteri’ sedang berjalan menuju ke ruangan mahkamah.

“Subhanallah, Bella pakai tiara dengan gown (pakaian) Frozen, animasi kesukaannya. 

“Saya nak buat Live. Saya buka Facebook, cari butang live tak jumpa, hajat tak sampai, ya ampun! 

“Akhirnya, bukan hanya dapat melihat Bella, tetapi juga mendekatinya, menyerahkan sendiri sepasang kurung merah jambu itu kepadanya memeluknya, mencium lembut pipinya,” kongsi Mona dalam hantaran itu.

Terdahulu, perbicaraan tersebut ditangguhkan sehingga 21 September selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad menyatakan pakar psikiatri tidak dapat hadir pada 14 September lalu. – Malaysiapost

Komen