Bella sambung beri keterangan esok

Bella sambung beri keterangan esok

REMAJA kelainan upaya (OKU), Bella akan menyambung memberi keterangannya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, esok.

Hakim Izralizam Sanusi menangguhkan perbicaraan hari ini, selepas pihak pembelaan belum selesai melakukan pemeriksaan balas terhadap remaja itu.

Memetik Harian Metro, mangsa kes pengabaian dan penganiayaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali itu mula memberi keterangan pada jam 10.30 pagi dan selesai pada 4.15 petang.

Saksi pendakwaan ke-18 itu memberi keterangan secara tertutup mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 yang hanya boleh dilihat menerusi rangkaian secara langsung.

Prosiding berkenaan hanya disaksikan hakim, pihak pendakwaan, peguam dan tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon supaya perbicaraan kes dijalankan secara tertutup memandangkan saksi adalah mangsa dalam kes berkenaan yang juga kanak-kanak.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen