Bot karam: Dua ditemui selamat, 9 masih hilang

Bot karam: Dua ditemui selamat, 9 masih hilang

SERAMAI sembilan penumpang termasuk tekong dan pemancing yang dilaporkan masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Mukah jam 8.30 malam kelmarin di kedudukan kira-kira 34 batu nautika dari Barat Laut Mukah.

Susulan kejadian itu Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Carilamat bermula jam 9 malam tadi dan setakat ini dua daripada keseluruhan 11 mangsa ditemui selamat.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata aduan tersebut diterima daripada kapal MT Capella yang memaklumkan menemui dua mangsa lelaki hanyut di perairan Mukah sekitar jam 3 petang semalam.

Menurutnya, berdasarkan kepada mangsa yang selamat, mereka telah keluar daripada jeti Penakub, Mukah pada 19 September lalu untuk memancing di laut.

“Sehingga ke hari ini, hanya dua mangsa yang selamat kerana sempat memakai jaket keselamatan dan berpaut pada tong ikan.

“MT Capella yang menjumpai mangsa telah membawa kedua-duanya ke Pelabuhan Senari Kuching, kerana pada ketika itu, MT Capella sedang menuju ke Pelabuhan Kuching dari Pelabuhan Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MRSC Kuching mengetuai Operasi Carilamat Maritim bagi mencari sembilan mangsa yang hilang dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mukah bermula 8 pagi tadi.

“MRSC Kuching turut memaklumkan insiden kejadian kepada agensi sahabat serta telah memajukan permohonan aset kepada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Sarawak Shell.

“Keluasan sektor pencarian hari pertama adalah 78.40 batu persegi. Cuaca di lokasi kejadian pada hari ini ombak dianggarkan 1.0 hingga 1.5 meter manakala angin bertiup dari Tenggara berkelajuan 20 hingga 30 kmsj,” katanya. – Malaysiapost

Komen